Wednesday, 29 April 2026

 

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 74 – 77 (Apa itu Sunnatullah)

Isra’ Ayat 74:

وَلَولَآ أَن ثَبَّتنَـٰكَ لَقَد كِدتَّ تَرڪَنُ إِلَيهِم شَيـًٔا قَلِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We had not strengthened you, you would have almost inclined to them a little.

(MELAYU)

Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka,

 

وَلَولَآ أَن ثَبَّتنَـٰكَ

Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu,

Allah ﷻ telah menetapkan hati baginda daripada terikut-ikut dengan kata dan pujukan mereka. Allah ﷻ juga beritahu kepada baginda yang kalau Allah ﷻ tidak menetapkan hati baginda, maka baginda berkemungkinan akan mengikuti mereka.

Akan tetapi tidaklah ikut terus kepada mereka, cuma ‘condong’ sedikit sahaja kepada mereka. Namun itu pun tidak terjadi kerana Allah ﷻ telah tetapkan hati baginda. Ini adalah kerana baginda ma’sum (terpelihara) oleh Allah ﷻ.

Yang diteguhkan di sini adalah hati baginda, kerana baginda menghadapi pujukan daripada mereka. Kalau berperang, akan disebut peneguhan kaki. Dengan firman Tuhan demikian itu dapatlah kita memahami bahawa berjuang menghadapi lawan yang bersikap secara halus dan lemah lembut kadang-kadang lebih sukar daripada menghadapi sikap mereka yang kasar. Kalau bukan Allah ﷻ yang menolong boleh sahaja hati Nabi Muhammad ﷺ lemah dan kendur kerana sikap lunak lawan itu.

Begitulah, memang kalau penentangan secara lembut kita lagi susah untuk perasan, dan lagi susah untuk tolak. Kita lihatlah sekarang media massa menyesatkan umat kita dengan cara yang lembut sahaja, bukanya terang-terang menentang Islam.

Begitu juga kalau kita dengan orang yang kita dakwahkan itu, menolak dengan lembut. Mereka hendak berkawan dengan kita, kompromi dengan kita. Mereka kata tidaklah mereka menolak kita terus, tetapi takkan salah kalau mereka ini dan itu? (amalan bid’ah contohnya). Kita pun mungkin terfikir, sekurang-kurang mereka dengar apa yang kita sampaikan. Maka kita pun terimalah apa yang mereka amalkan itu walaupun ia bid’ah. Mungkin bid’ah itu jenis kecil sahaja, sebab itu kita rasa tidak mengapa. Namun ini tetap bahaya.

 

لَقَد كِدتَّ تَرڪَنُ إِلَيهِم شَيـًٔا قَلِيلاً

nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka,

Maka Nabi Muhammad ﷺ tidak cenderung langsung kepada mereka kerana Allah ﷻ telah memelihara baginda. Kalau dilihat kepada bahasa yang digunakan pun ia menunjukkan bahawa baginda hanya كِدتَ (hampir-hampir) dan kalau baginda cenderung pun, ia قَليلًا sikit saja. Kalimah تَرْكَنُ daripada katadasar ر ك ن yang bermaksud untuk bersandar; sokongan; percaya; tiang; batu asas; perkara yang dengannya seseorang itu diperkuatkan; bangga dengan kuasa dan keperkasaan. Maknanya condong dan cenderung kepada sesuatu golongan. Maka bukanlah baginda ikut tetapi kalau ada pun kehendak untuk condong sahaja. Akhir sekali kalimah لَولَآ di awal ayat ini menunjukkan perkara itu tidak berlaku pun.

Ayat ini dari satu sisi menunjukkan betapa besar upaya dan tipu daya kaum musyrikin terhadap Nabi ﷺ dan dari sisi lain ia menunjukkan juga betapa mantap hati dan kukuh pendirian baginda menghadapi mereka. Memang tidak mungkin Rasul ﷺ mengalah dalam tuntunan agama sehingga melemahkan sikap baginda terhadap kaum musyrikin. Apalagi Surah al-Qalam yang merupakan salah satu daripada wahyu-wahyu awal yang turun (bahkan ada yang menyatakan wahyu kedua atau keempat yang baginda terima) Allah ﷻ telah memperingatkan di dalam ayat ke 8-9:

فَلا تُطِعِ المُكَذِّبينَ
Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ
Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Oleh itu, susunan ayat dalam ini berlainan dengan pembelaan Allah ﷻ terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam pembelaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ﷻ berfirman yang kalau Allah ﷻ tidak bantu baginda, memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan termakan dengan pujukan wanita yang menggodanya itu. Akan tetapi dalam kes Nabi Muhammad ini, Allah ﷻ beritahu: baginda hanya hampir condong sahaja, itu pun sedikit sahaja. Ini menunjukkan yang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ itu lebih tinggi daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Begitulah kita juga memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ untuk memperkukuhkan hati kita. Syaratnya adalah dengan kita berpegang dengan ilmu wahyu. Kalau kita tetap berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah, Allah ﷻ akan bantu. Siapa yang Allah ﷻ akan bantu? Iaitu mereka yang membantu agama Allah ﷻ dengan menjalankan jihad. Bagi mereka yang menjalankan jihad, Allah ﷻ janjikan keteguhan iman seperti disebut di dalam Muhammad: 7

يَـٰٓ يٰٓاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تَنصُرُوا اللهَ يَنصُركُم وَيُثَبِّت أَقدامَكُم
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

Ayat ini mengajar kita satu pelajaran yang penting: jangan kita condong kepada orang yang melakukan kesalahan dalam agama. Maksud condong itu boleh kita katakan sebagai sokong. Atau kita tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan. Ini pun sudah salah seperti firman Allah ﷻ di dalam Hud: 113

وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا فَتَمَسَّكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ ثُمَّ لا تُنصَرونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.


 

Isra’ Ayat 75: Allah ﷻ beritahu kalaulah Nabi Muhammad ﷺ ikut desakan mereka itu.

إِذًا لَّأَذَقنَـٰكَ ضِعفَ ٱلحَيَوٰةِ وَضِعفَ ٱلمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَينَا نَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then [if you had], We would have made you taste double [punishment in] life and double [after] death. Then you would not find for yourself against Us a helper.

(MELAYU)

kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.

 

إِذًا لَّأَذَقنَـٰكَ ضِعفَ ٱلحَيَوٰةِ وَضِعفَ ٱلمَمَاتِ

kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati,

Sekarang Allah ﷻ bercakap tentang Nabi Muhammad ﷺ dan kalaulah Nabi Muhammad ﷺ melakukan kecenderungan kepada Musyrikin Mekah itu. Kalau baginda cenderung kepada mereka, baginda akan mendapat azab dan azab itu pula berganda. Tidak sama dengan azab yang dikenakan kepada orang lain.

Yang dimaksudkan adalah gandaan azab di dunia dan gandaan azab di akhirat. Yang dimaksudkan dengan (seksaan) berganda kehidupan dunia adalah kehadiran aneka petaka, ketiadaan ketenangan hidup, gagalnya harapan dan cita-cita menegakkan nilai-nilai agama serta menguatnya pengaruh orang-orang musyrik. Akan tetapi sebagai penghormatan kepada Rasulullah ﷺ, Allah ﷻ tidak sebut pun kalimah ‘azab’ itu. Kita kena isi sendiri di tempat kosong. Kerana tidaklah Nabi ﷺ melakukan kesalahan dosa itu.

Namun kenapa Allah ﷻ sampaikan juga? Kerana hendak beritahu kepada kita, kalau Nabi ﷺ pun buat kesilapan, baginda akan dikenakan dengan azab begini. Kalau kita buat perkara yang sama, bagaimana? Tentulah kita pun dikenakan azab juga.

Akan tetapi ada pendapat yang mengatakan azab yang dikenakan hanya setakat kematian sahaja kerana tidak pun disebut akhirat, hanya disebut ٱلمَمَاتِ sahaja. Begitulah Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ cenderung memahaminya dalam erti seksaan berganda duniawi itu berlanjut hanya sampai kematian Nabi ﷺ, bukan dalam erti seksaan di akhirat. Ulama ini secara tegas menolak pendapat yang menyatakan bahawa potongan ayat ini bererti seksa di akhirat. Ini kerana kalaupun Nabi ﷺ cenderung sedikit kepada usul kaum musyrikin, maka pastilah hal tersebut lahir daripada ijtihad baginda dan terdorong oleh kemaslahatan agama – paling tidak menurut pertimbangan akal beliau. Siapa pun yang berijtihad – termasuk Nabi ﷺ – tidaklah terancam dengan seksa ukhrawi walaupun baginda keliru dalam hasil ijtihadnya. Bahkan yang keliru dalam ijtihadnya mendapat satu ganjaran/pahala. Memang kesalahan penilaian dan pendapat dalam kehidupan duniawi, pastilah mengakibatkan kesan buruk atau negatif- walau disertai dan didorong oleh niat dan i’tikad yang baik. Agaknya itulah sebab mengapa kalimah yang dipilih di sini berbeza dengan kalimah Al-Qur’an yang lain ketika menjelaskan seksa akhirat. Untuk seksa akhirat biasanya Al-Qur’an menggunakan istilah عذاب الاخرة, sedangkan di sini kalimah عذاب sama sekali tidak disebut. Demikian lebih kurang pendapat Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ.

Ancaman yang sama juga telah diberikan kepada para isteri baginda. Ini adalah kerana keluarga baginda menjadi contoh kepada umat yang lain. Kalau mereka melakukan kesalahan, maka kesalahan mereka itu akan menjadi contoh sampai bila-bila. Ini disebut di dalam Ahzab: 30

يٰنِساءَ النَّبِيِّ مَن يَأتِ مِنكُنَّ بِفٰحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضٰعَف لَهَا العَذابُ ضِعفَينِ
Hai isteri-isteri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya akan dilipat-gandakan seksaan kepada mereka dua kali lipat.

Pengajarannya adalah orang yang dipandang sebagai rujukan hendaklah lebih berhati-hati. Kerana kalau kita yang dipandang sebagai ustaz contohnya, buat benda-benda yang lain, ia akan menjadi ‘dalil bagi orang yang jahil’. Mereka akan kata: “Tu ustaz boleh buat, tentulah tak salah!”

 

ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ عَلَينا نَصيرًا

dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.

Apabila Allah ﷻ telah mengenakan azab, tidak ada sesiapa yang dapat bantu walau sedikit pun. Kalau Nabi ﷺ dan para isteri Nabi ﷺ pun tidak akan mendapat bantuan, apatah lagi kita, bukan? Ini sama seperti firman Allah ﷻ di dalam Hud: 113 yang telah dikongsi di atas tadi.

وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا فَتَمَسَّكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ ثُمَّ لا تُنصَرونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.


 

Isra’ Ayat 76: Sekarang kita masuk penerangan penting di dalam makro ini iaitu tentang cubaan mengusir Rasulullah ﷺ.

وَإِن ڪَادُواْ لَيَستَفِزُّونَكَ مِنَ ٱلأَرضِ لِيُخرِجُوكَ مِنهَا‌ۖ وَإِذًا لَّا يَلبَثُونَ خِلَـٰفَكَ إِلَّا قَلِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, they were about to provoke [i.e., drive] you from the land [i.e., Makkah] to evict you therefrom. And then [when they do], they will not remain [there] after you, except for a little.¹

  • Only ten years after the Prophet’s emigration, Makkah was completely cleared of his enemies.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu daripadanya dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar saja.

 

وَإِن كادوا لَيَستَفِزّونَكَ مِنَ الأَرضِ

Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri

Bumi yang dimaksudkan adalah bumi mekah. Mereka hampir hendak mengeluarkan Nabi Muhammad ﷺ dari bumi Mekah. Kerana mereka sudah tidak tahan dengan dakwah baginda dan mereka rasa lebih baik kalau baginda tidak ada lagi di Mekah. Selama itu baginda dapat tetap duduk di Mekah kerana baginda ada penolong baginda iaitu bapa saudara baginda, Abu Talib.

Kalimah لَيَستَفِزّونَكَ daripada katadasar ف ز ز yang bermaksud melakukan provokasi, menakutkan, memalukan dengan tujuan supaya seseorang itu buat sesuatu. Maknanya mereka telah buat macam-macam perkara supaya Rasulullah ﷺ tidak selesa lagi di Mekah, sampai keluar dari Mekah. Malah hampir-hampir mereka berjaya. Akan tetapi kerana baginda tidak mendapat arahan daripada Allah ﷻ, maka tidaklah baginda terus ikut kehendak hati baginda. Walaupun baginda membenarkan beberapa sahabat meninggalkan Mekah dan berhijrah ke Habasyah (Ethiopia).

 

لِيُخرِجوكَ مِنها

untuk mengusirmu daripadanya

Tujuan mereka provokasi baginda adalah untuk mengeluarkan baginda dari Mekah. Supaya terus nyah sahaja dari situ dan mereka pun senang hati tidak perlu berhadapan dengan baginda lagi. Mereka sudah tidak tahu mahu berhujah apa lagi dengan baginda kerana hujah mereka lemah.

Akhirnya mereka berjaya juga untuk mengeluarkan baginda dari Mekah. Iaitu setelah Allah ﷻ mengeluarkan arahan untuk berhijrah ke Yathrib. Semasa ayat ini diturunkan, ia belum berlaku lagi kerana belum sampai masanya. Nanti setelah Allah ﷻ mengizinkan baginda berhijrah, dan mereka membatalkan rencana pengusiran dengan menukar kepada rencana pembunuhan, barulah Allah ﷻ mengizinkan baginda berhijrah. Memang izin ini lahir kerana permusuhan kaum musyrikin sehingga mereka jugalah yang menjadi penyebab hijrahnya Nabi ﷺ tetapi rencana pengusiran pada waktu yang mereka inginkan tidak terlaksana, dan pemaksaan yang menjengkelkan itu tidak berhasil mengeluarkan Nabi ﷺ dari Mekah, walaupun seperti bunyi ayat ini, hal tersebut hampir saja berhasil.

Demikian Allah ﷻ memelihara Nabi ﷺ menghadapi rencana jahat kaum musyrikin dan menggagalkannya setelah ayat yang lalu menghuraikan bagaimana usul-usul buruk mereka pun gagal kerana kekuatan peribadi baginda yang kuat serta pemeliharaan Allah ﷻ.

 

وَإِذًا لَّا يَلبَثُونَ خِلَـٰفَكَ إِلَّا قَلِيلاً

dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar sahaja.

Namun begitu Allah ﷻ beritahu, jikalau baginda keluar dari Mekah pun, mereka pun tidak lama tinggal di situ. Mereka tidak akan selamat kalau baginda tidak ada. Ini adalah kerana azab tidak dikenakan kepada mereka selama hari itu adalah kerana Nabi ﷺ ada di situ dan Allah ﷻ tidak kenakan azab kalau begitu.

Mereka pun tidak tenang duduk di Mekah walaupun tanpa Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka perasan kekuatan umat Islam semakin kuat. Maka tidak lama selepas itu mereka pun keluar berperang dengan umat Islam di Badr. Tidak lama kemudian mereka berperang lagi di Uhud, kemudian Perang Ahzab. Kemudian umat Islam datang untuk mengerjakan Umrah dan terjadilah peristiwa Perjanjian Hudaybiyah. Begitulah secara ringkas, akhirnya setelah lapan tahun baginda berhijrah dari Mekah, umat Islam telah berjaya mengambil alih Kota Mekah daripada Musyrikin Mekah. Maka ayat ini mengisyaratkan bahawa suatu ketika Nabi ﷺ akan meninggalkan kota Mekah, dalam bentuk hijrah Nabi ﷺ dan itulah awal keruntuhan kekuasaan kaum musyrikin.

Dalam Tafsir Jalalain mengatakan yang ayat ini diturunkan ketika orang-orang Yahudi berkata kepada Nabi ﷺ, “Jika kamu benar-benar seorang nabi, pergilah kamu ke negeri Syam kerana negeri itu adalah negeri para nabi.” Maka ini adalah tafsir kedua pula. Iaitu yang hendak mengusir Nabi ﷺ adalah golongan Yahudi pula. Akan tetapi Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan pendapat ini lemah. Tambahan pula surah ini adalah Surah Makkiyah. Begitulah juga pendapat Qatadah dan Mujahid رحمهما الله.


 

Isra’ Ayat 77:

سُنَّةَ مَن قَد أَرسَلنَا قَبلَكَ مِن رُّسُلِنَا‌ۖ وَلَا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحوِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That is Our] established way for those We had sent before you of Our messengers; and you will not find in Our way any alteration.

(MELAYU)

(Kami menetapkan yang demikian) sebagai suatu ketetapan terhadap rasul-rasul Kami yang Kami utus sebelum kamu dan tidak akan kamu dapati perubahan bagi ketetapan Kami itu.

 

سُنَّةَ مَن قَد أَرسَلنَا قَبلَكَ مِن رُّسُلِنَا‌ۖ

sebagai suatu ketetapan terhadap rasul-rasul Kami yang Kami utus sebelum kamu

Dugaan yang telah dikenakan kepada baginda itu adalah perkara biasa yang juga diberikan kepada rasul-rasul sebelum baginda. Maka ini adalah tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Kalau baginda tahu yang para Rasul dahulu pun dihalau dari kampung asal mereka, tentulah baginda ada rasa lega sedikit.

Semasa pertama kali Nabi Muhammad ﷺ bertemu Waraqah, Waraqah memberitahu yang kalaulah dia masih hidup semasa kaum baginda akan halau baginda dari Mekah, tentulah dia akan membantu baginda waktu itu. Waktu itu, Nabi Muhammad ﷺ seolah tidak percaya dan kehairanan yang amat sangat apabila diberitahu yang kaum baginda sendiri akan menghalau baginda. Baginda tidak dapat bayangkan ia sampai jadi begitu. Namun begitulah yang terjadi.

Sampai sekarang pun, ada orang yang menyampaikan kebenaran pun dihalau dari kampung. Saya teringat kisah seorang ustaz bernama Ustaz Halim yang terpaksa meninggalkan kampung halaman asalnya hanya kerana menyampaikan ajaran Sunnah kepada mereka.

Satu lagi sunnatullah yang berulang, apabila dihalau Rasul dari satu-satu tempat, penduduk asal akan binasa. Itu pun telah berlaku dahulu lagi pun.

Istilah سُنَّةَ dari segi bahasa berarti “kebiasaan”. Sunnatullah adalah kebiasaan-kebiasaan Allah ﷻ dalam memperlakukan masyarakat. Dalam Al-Qur’an kata sunnatullah, dan yang semakna dengannya seperti sunnatuna, sunnatulawwalin, terulang sebanyak tiga belas kali. Kesemuanya berbicara dalam konteks kemasyarakatan, sebagai contoh dapat dibaca Anfal: 38,

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم مّا قَد سَلَفَ وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ
Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: “Jika mereka berhenti (daripada kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu; dan jika mereka kembali lagi sesungguhnya telah berlaku (kepada mereka) sunnah (Allah terhadap) orang-orang dahulu”.

 

وَلا تَجِدُ لِسُنَّتِنا تَحويلًا

dan tidak akan kamu dapati perubahan bagi ketetapan Kami itu.

Allah ﷻ memang tidak mengubah cara itu dan ia tetap akan terjadi. Maka akan ada sahaja gangguan kepada para pendakwah seperti yang dikenakan kepada para Rasul; dan kalau pendakwah dikenakan dengan kezaliman, maka akan ada masalah yang akan dikenakan kepada mereka yang zalim itu.

Segala Rasul utusan Tuhan mesti menderita yang demikian. Mereka dibenci dan disengsarakan namun mereka tidak boleh mundur setapak jua pun. Berganjak daripada pendirian sedikit saja pun ertinya ialah melalaikan kewajipan. Memperturutkan kehendak mereka itu agak sedikit, bererti dosa merubah pendirian batin. Kerana sekali mereka telah diberi hati, mereka akan terus, dan pasti kepercayaan umat yang mengikutmu akan berkurang kalau engkau mundur.

Ayat tentang Sunnatullah ini tidak boleh difahami sebagai kematian manusia, tetapi kematian sistem/orde masyarakat. Orang-orang yang hidup dalam masyarakat tersebut tetap bertahan hidup, tetapi sistem kemasyarakatan dan pandangan Jahiliah yang mereka anut akan runtuh tidak lama lagi. Ini terbukti kebenarannya setelah sekitar 10 tahun hijrah Rasul ﷺ dari Mekah. Ayat ini merupakan salah satu bukti bahawa Al-Qur’an adalah kitab pertama yang menjelaskan hukum-hukum kemasyarakatan dan bahawa di samping ajal orang perseorangan, ada juga ajal bagi masyarakat. Seperti dalam firman-Nya di dalam A’raf: 34

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم لا يَستَأخِرونَ ساعَةً ۖ وَلا يَستَقدِمونَ
Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya.

Selanjutnya, kalau Al-Qur’an menyatakan bahawa: segala sesuatu ada kadar dan ada juga sebabnya, maka usia dan keruntuhan suatu sistem dalam suatu masyarakat pun pasti ada kadar dan ada pula penyebabnya. Apabila sampai masanya setelah melebihi kadar, ia akan hancur. Ayat al-Isra’ 76-77 di atas dapat menjadi salah satu hukum kemasyarakatan yang menjelaskan kadar dan penyebab itu, yakni jika satu masyarakat telah sampai pada satu tingkat yang telah amat menggelisahkan, maka ketika itu ia akan runtuh. Ini sejalan juga dengan firman-Nya di dalam Kahf: 59

وَتِلكَ القُرىٰ أَهلَكنٰهُم لَمّا ظَلَموا وَجَعَلنا لِمَهلِكِهِم مَّوعِدًا
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

Semoga Allah ﷻ hancurkan kuasa Barat dan Israel yang teruk sangat menindas umat Islam di Palestin. Apa pun keputusan itu daripada Allah ﷻ sahaja dan kita cuma berharap semoga situasi di belahan bumi sana dapat mencapai kata putus tidak lama lagi. Tidak tertahan hati ini melihat apa yang sedang dialami oleh mereka. Kita pun tertanya-tanya dan tertunggu bilakah ia akan selesai. Namun begitulah, belum masanya lagi maka kita boleh tunggu sahaja.

Sekian Ruku’ 8 daripada 12 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

 



 

Sunday, 12 October 2025

DETIK DETIK WAFATNYA SYEIKH IMAM MUHAMMAD MUTAWALLI AS-SYA'RAWI

Profesional Dalam Bekerja | Syekh Mutawalli Sya'rawi

 

Sunday, 12 October 2025

Profesional Dalam Bekerja | Syekh Mutawalli Sya'rawi


Sheikh Mutawalli Sya'rawi ialah seorang Sheikh yang Kaya...
Saat2 kematiannya di iringi oleh berjuta orang....MaasyaaAllah. 
Seorang  Sheikh yang Pemurah dan hebat.

AGAR SEMUA URUSAN LANCAR DAN MUDAH - Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas

 

Tuesday, 14 October 2025

AGAR SEMUA URUSAN LANCAR DAN MUDAH - Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas



Dari sahabat abu Hurairah RA.  Barang siapa yang melapangkan kesulitan seorang mukmin dari kesulitan dunia maka allah akan melapangkan dia dari kesulitan di hari kiamat.
Barang siapa yang memudahkan orang yang dililit hutang maka allah akan memudahkan Allah akan memudahkan nya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, Allah akan menutup aibnya di hari akhirat..di dunia dan di akhirat. dan barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan permudahkan dia jalan ke syurga.  Kemudian Nabi lanjutkan dan tidaklah berkumpul sesuatu kaum di satu masjid di masjid2 Allah yang mereka membaca kitab Allah dan mereka pelajari dan mereka kaji kitab2 Allah itu maka :

1) akan turun sakinah...ketenangan..
2) Di liputi Rahmat Allah SNW 
3) Di kelilingi oleh maklaikat
4) Allah akan sebutkan orang2 yang hadir oleh Allah disisi malaikat Allah dan barang siapa yang lambat amalnya tidak akan dapat di kejar oleh nasabnya.  Hadith soheh riwayat Muslim.
1) Nabi sebutkan kalau ada teman kita mengalami kesulitan, bantu...janhgan diam...dia seorang muslim, kita kenal  a[pa lagi saudara kita. tetangga kita , dia sulit, bantu...Allah akan,hilangkan kesulitan kita pada hari kiamat.  Orang yang memudahkan orang yang behutang..dia tidak mampu bayar...susah hidupnya...kita bantu untuk dia biusa membayar hutangnya.  Atau dia hutang kepada kita kita bebaskan dan tunda hingga dia lapang..atau kamu bebaskan.   Jika kamu se.....

Tuesday, 28 April 2026

 

Isnin, 5 Ogos 2024

Di Pinggir Kayangan

 

Tuesday, 21 April 2026

Sudirman Pelangi Petang



Allah jadi saksi..
BIARLAH BUAT SESUATU ITU  IKHLAS, HANYALAH KERANA ALLAH.  BARU KITA SELAMAT.

Allah jadi saksi..BIARLAH BUAT SESUATU ITU HANYALAH KERANA ALLAH. BARU KITA SELAMAT.

 


Allah jadi saksi... Aamiin. Pasrah.,syukur dan sabar kpd Allah tempat menyerah segala sesuatu kerana Allahlah yg Menggenggam Hati Insan. Rabbku permudahkanlah segala yg sukar... Lagu ni sampai ke tangan saya sendiri petang kelmarin...Berat janji ni...

Tafsir Surah Yunus Ayat 6 – 9 (Bahaya tidak belajar tafsir Al-Qur’an)

 

Tafsir Surah Yunus Ayat 6 – 9 (Bahaya tidak belajar tafsir Al-Qur’an)

Yunus Ayat 6: Sambungan lagi tentang alam sebagai penyudahan dalil yang telah disebut sebelum ini.

إِنَّ فِي اختِلٰفِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَما خَلَقَ اللَّهُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَّقونَ

Sahih International

Indeed, in the alternation of the night and the day and [in] what Allah has created in the heavens and the earth are signs for a people who fear Allah

Malay

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.

 

إِنَّ فِي اخْتِلٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu

Banyak ayat-ayat yang dimulai dengan kalimat ini kerana Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini berkali-kali. Kalimah اخْتِلَافِ bermaksud ‘perbezaan’ iaitu apabila dua perkara berbeza antara satu sama lain. Kalimah اخْتِلَافِ juga bermaksud sesuatu yang ‘datang selepas sesuatu’;  menggantikan sesuatu. Sebagaimana juga perkataan ‘khalifah’ bermaksud seseorang yang menggantikan khalifah yang sebelumnya.

Ayat ini menerangkan bagaimana malam dan siang datangnya silih berganti selepas satu sama lain. Selepas siang maka datangnya malam dan selepas malam maka datangnya siang tanpa henti. Allah ﷻ menjadikan pertukaran ini bukan dengan tiba-tiba, tetapi secara perlahan-lahan seperti disebut dalam Yaasin: 37

وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيلُ نَسلَخُ مِنهُ النَّهارَ فَإِذا هُم مُّظلِمونَ

Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan.

Kalimah نَسلَخُ yang digunakan itu asalnya digunakan oleh orang Arab yang bermaksud menyiat atau melapah kulit binatang. Ini selalunya dilakukan dengan perlahan-lahan, bukan? Kerana kalau pertukaran siang ke malam dan malam ke siang itu berlaku dengan tiba-tiba, banyak yang pengsan agaknya sebab terkejut dan tidak sempat biasakan diri dengan perubahan itu.

Begitu juga terdapat perbezaan yang ketara antara siang dan malam. Bagaimana siang itu cerah terang benderang dan malam itu gelap gelita. Maka kerana itulah Allah ﷻ  tidak terus tukar dengan segera tetapi dilakukan secara beransur-ansur.

Dalam ayat ini ada isyarat tentang iman dalam perbezaan siang dan malam itu. Sebagaimana bezanya antara siang dan malam, begitu juga bezanya antara iman dan kufur.

 

وَمَا خَلَقَ اللَّهُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi,

Segala-galanya yang Allah ﷻ telah ciptakan di dalam alam ini menjadi tanda. Allah ﷻ berikan contoh penciptaan-Nya di langit dan di bumi. Lihatlah bagaimana di langit Allah ﷻ menjadikan galaksi, bintang-bintang, planet-planet, meteor-meteor dan sebagainya. Begitu juga Allah ﷻ menjadikan di langit dunia ini ada awan, ada lapisan ozon, ada air, ada pelangi dan sebagainya malah ada lagi penciptaan lain yang kita tidak tahu.

Di bumi pula berjenis-jenis kehidupan yang Allah ﷻ telah ciptakan daripada jenis tumbuh tumbuhan, binatang, manusia, batu-batuan, air dan macam-macam lagi. Tidak cukup nyawa kita untuk mengkaji semua kehidupan yang Allah ﷻ telah jadikan. Dalam kita hidup dalam zaman moden sebegini pun, masih ada lagi kehidupan lain yang kita tidak tahu. Saintis sentiasa sahaja sibuk mengkaji dan menemui kehidupan yang baru dalam alam ini. Namun malangnya ia tidak menambah iman mereka kecuali sedikit sahaja dalam kalangan mereka.

 

لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَّقُونَ

benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang bertakwa.

Semua penciptaan di langit dan di bumi itu adalah sebagai tanda kekuasaan Allah ﷻ. Maka sembahlah Allah ﷻ dalam akidah Tauhid kerana Dia sahaja yang menjadikan segalanya. Tidak mungkin alam yang hebat dengan segala perkiraan ini boleh dilakukan oleh lebih daripadasatu Tuhan. Kalau ramai Tuhan, maka tentu sudah berantakan alam kita ini.

Tanda itu diberitahu kepada semua, tetapi yang boleh menerima hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja. Atau ia diberikan kepada mereka ‘mahu bertaqwa’ kerana perkataan يَتَّقُونَ itu dalam bentuk “present tense”, bermaksud ia merujuk kepada mereka yang berusaha untuk bertaqwa.

Di dalam ayat sebelum ini disebut tanda-tanda itu diberikan kepada orang yang tahu يَعلَمونَ dan sekarang disebut pula ia menjadi tanda-tanda bagi orang yang bertaqwa يَتَّقُونَ. Ini mengajar kita yang untuk menjadi orang bertaqwa, kena ada ilmu.

Taqwa itu bermaksud mereka yang menjaga hukum yang Allah ﷻ telah berikan. Orang bertaqwa akan berhati-hati dalam segenap kehidupannya untuk mengikut perintah Allah ﷻ. Mereka sedar tentang Allah ﷻ melihat setiap gerak gerinya. Dalam setiap perbuatannya, dia akan menilai sama ada perkara itu adalah halal, haram, sunat, makruh atau harus. Menurut al-Raghib al-Asfahani رحمه الله, taqwa bermaksud menjaga diri daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa, dan hal itu adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan.

Pengajaran yang kita boleh ambil daripada ayat ini adalah segala penciptaan itu menjadi tanda bukan sahaja kepada mereka yang ‘mahu mengetahui’, tetapi kepada mereka yang ‘mahu bertaqwa’. Ada beza antara keduanya kerana ‘mahu tahu’ sahaja tidak cukup. Berapa ramai orang kafir yang mahu tahu tentang Islam? Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mengkaji Islam.

Namun selepas mereka mengetahui tentang Islam, mereka tidak beriman. Mereka hanya mahu tahu dari segi akademik sahaja, bukan untuk dijadikan sebagai panduan hidup mereka. Maknanya, kalau setakat hanya ‘untuk tahu’ pun, tidak selamat lagi. Kita kena jadikan pengetahuan kita itu membawa kepada taqwa.

Semua yang Allah ﷻ jadikan di alam ini ada kegunaannya. Maka adakah kita yang dijadikan ini tidak ada guna dan tujuan? Takkan Allah ﷻ sengaja menjadikan kita tanpa sebab-sebab tertentu? Maka alam ini mengingatkan yang kita juga ada tujuan hidup iaitu untuk hanya untuk sembah Allah ﷻ sahaja, menghambakan diri kepada Allahﷻ sahaja. Ini kerana nanti akan ada masanya yang kita juga akan musnah dan akan dihadapkan di hadapan Allah ﷻ untuk menerima balasan daripada segala perbuatan kita.


 

PENENTANG KEPADA KONSEP PENCIPTAAN SEMULA

Yunus Ayat 7: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi yang menceritakan sifat ahli-ahli neraka. Sebelum ini telah disebut tentang alam yang dicipta oleh Allah ﷻ. Sepatutnya manusia melihat segala penciptaan itu dan menggeraknya untuk mengenal Allah ﷻ dan taat kepada-Nya. Akan tetapi manusia terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah yang tidak mengendahkan segala tanda-tanda Allah ﷻ itu. Mereka tidak membuat persediaan untuk Akhirat.

إِنَّ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا وَرَضوا بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا وَاطمَأَنّوا بِها وَالَّذينَ هُم عَن ءآيٰتِنا غٰفِلونَ

Sahih International

Indeed, those who do not expect the meeting with Us and are satisfied with the life of this world and feel secure therein and those who are heedless of Our signs

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang redha (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasaan) Kami, –

إِنَّ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami,

Kalimah يَرْجُونَ berasal daripada katadasar ر ج و yang bermaksud untuk berharap; jangkakan; tunggu; harapan; ketakutan; mengemis; permintaan; sempadan; sisi-sisi; menunda; menangguhkan.

Maka perkataan الرجاء ini mengandungi maksud ‘harapan’ dan juga ‘takut’. Ini salah satu contoh jenis kalimah yang ada dua makna yang bertentangan di dalam bahasa Arab. Kedua-duanya boleh digunakan kerana apabila seseorang itu mengharap kepada sesuatu tetapi di dalam masa yang sama, dia takut jikalau perkara yang diharapkannya itu tidak terjadi. Kerana jikalau seseorang itu hanya berharap sahaja, tetapi dia tidak kisah sangat kalau dia tidak mendapatnya, maka itu bukanlah الرجاء.

Ayat ini adalah tentang mereka yang tidak berharap untuk bertemu Tuhan mereka. Mereka tidak teringin untuk bertemu Allah ﷻ yang telah menjadikan mereka. Mereka tidak terfikir pun yang mereka akhirnya akan bertemu dengan Allah ﷻ. Mereka tidak takut pun untuk mengadap Allah ﷻ kerana tidak pernah fikir tentang hal itu. Janganlah kita jadi begitu. Hendaklah kita setiap hari berdoa untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Takkan kita tidak teringin hendak bertemu dengan Allah ﷻ yang telah menjadikan kita? Dan hendaklah kita fikir, nanti aku jumpa Allah ﷻ apa yang aku hendak jawab kalau Allah ﷻ tanya aku kenapa buat itu dan ini?

Oleh itu ingat, perkataan الرجاء bermaksud ‘harap’ dan ‘takut’. Daripada makna ‘takut’ itu juga, perkataan لَا يَرْجُونَ dalam ayat ini juga membawa maksud mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang tidak takut untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Apabila mereka tidak takut untuk bertemu dengan Allah ﷻ, maka mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja semasa di dunia ini, termasuk melakukan dosa.

Kerana itulah kita nampak ramai dalam kalangan orang-orang Islam sendiri yang berbuat dosa seperti dosa-dosa itu tidak ada makna. Oleh itu, ayat ini adalah tentang mereka yang tidak mengharapkan balasan baik yang dijanjikan oleh Allah ﷻ dan tidak takut kepada janji-janji azab daripada Allah ﷻ jikalau mereka melakukan dosa.

Ayat ini juga tentang orang-orang yang tidak menaruh harapan untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Kenapakah mereka sampai jadi begitu sekali? Ini adalah kerana Allah ﷻ telah mengunci mati hati mereka daripada mempunyai perasaan begitu. Ini bermakna, mereka ini Allah ﷻ telah menutup hati mereka daripada menerima hidayah. Seperti yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Baqarah: 7

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.

Apabila telah dikunci mati hati, walaupun datang hidayah kepada mereka, mereka tidak nampak dan mereka tidak terima. Kenapakah pula Allah ﷻ kunci mati hati mereka? Tidakkah ini seperti berlaku kejam kepada mereka? Kita kena tahu bahawa mereka ini tidaklah dikunci hati mereka dari mula lagi.

Mereka ini adalah orang-orang yang telah diberi peringatan dan ajakan Tauhid berkali-kali tetapi setiap kali diajak mereka akan menolak dan tidak mahu mendengar kebenaran. Apabila sudah banyak kali menolak kebenaran yang disampaikan kepada mereka, maka barulah Allah ﷻ menutup hati mereka daripada menerima hidayah kerana Allah ﷻ sudah membuat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.

Ini adalah satu perkara yang amat menakutkan sekali kerana perkara ini bukan hanya terjadi kepada orang-orang yang kafir sahaja, tetapi boleh terjadi juga kepada orang-orang yang pada zahirnya Muslim dan mengaku beragama Islam, melakukan ibadat-ibadat Islam tetapi dalam masa yang sama mereka menolak ayat-ayat Al-Qur’an (sedar atau tanpa sedar).

Apabila Allah ﷻ sudah mengunci mati hati seseorang itu, maka tidak ada keinginan di dalam hatinya untuk meminta ampun. Walaupun mereka telah melakukan kesalahan, tetapi mereka tidak teringat untuk meminta ampun di atas dosa-dosa mereka. Padahal Allah ﷻ telah beritahu kepada kita bahawa Dia Maha Pengampun.

Kalau kita meminta ampun kepada Allah ﷻ, sudah tentu Allah ﷻ akan mengampunkan dosa-dosa kita. Tetapi mereka yang telah dikunci mati hati mereka, langsung tidak teringat untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ dan kerana itu, dosa mereka tidak diampuni. Allah ﷻ tidak timbulkan keinginan itu dalam hati mereka. Oleh itu, jikalau hati kita masih lagi terdetik untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ, maka ketahuilah bahawa itu adalah rahmat yang amat besar daripada Allah ﷻ. Itu bermakna, Allah ﷻ tidak kunci mati hati kita.

Ayat ini banyak berulang-ulang dalam surah ini nanti. Kerana ini adalah satu ayat yang penting.

 

وَرَضُوا بِالْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

dan merasa puas dengan kehidupan dunia

Yang mereka mahukan hanyalah kesenangan hidup di dunia sahaja. Mereka rasa mereka sudah cukup, sudah puas, jikalau mereka dapat hidup senang di dunia ini. Seolah-olah mereka melihat kehidupan itu hanyalah kehidupan di dunia sahaja. Mereka tidak mahu memikirkan persediaan untuk menghadapi kehidupan di akhirat nanti.

Begitulah kebanyakan manusia melebihkan dunia sahaja daripada Allah ﷻ seperti yang Allah ﷻ tegur dalam A’la: 16

بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا

Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi.

 

وَاطْمَأَنُّوا بِهَا

serta merasa tenteram dengan kehidupan itu

Kalimah اطْمَأَنُّوا bermaksud mereka tidak mahu apa-apa lagi selain daripada dunia. Mereka tidak mengharapkan apa-apa selain daripada apa yang mereka dapat di dunia ini. Mereka tidak mengharapkan kelebihan di akhirat langsung.

Tidak salah untuk kita mencari kekayaan dan kelebihan dunia. Ia hanya salah jikalau kita berhenti setakat itu sahaja. Sepatutnya kita kena mengharap kelebihan di akhirat lebih lagi daripada kita mengharapkan kelebihan dunia. Namun ramai dalam kalangan kita yang apabila mendapat kelebihan dunia, mereka tidak mengharapkan kelebihan di akhirat pula.

Dunia ini tidak ada apa-apa sebenarnya. Mereka yang hanya mencari kesenangan dan kelebihan di dunia ini sahaja, akan merasa kosong. Jiwa mereka tidak akan puas. Walau banyak mana pun kekayaan dan kesenangan yang mereka dapat, mereka tidak akan puas. Dunia ini tidak dapat memuaskan apa yang dikehendaki oleh jiwa manusia.

Selepas mereka menikmati kesenangan yang berbagai-bagai, lama kelamaan mereka akan tertanya kepada diri mereka sendiri: “Inikah sahaja yang aku kehendaki? Inikah sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini?” Itulah sebabnya, kita banyak dengar tentang manusia yang menghadapi Mid life crisis. Ini tandanya mereka telah merasa kosong dengan apa yang mereka telah capai.

Dari segi fizikal, mereka sudah mencapai pelbagai kejayaan, tetapi jiwa mereka rasa kosong. Mereka pun tidak tahu apa lagi yang mereka perlu buat untuk memenuhinya. Mereka memang tidak akan rasa benar-benar puas tanpa cahaya agama Islam.

Mereka yang mengisi jiwa mereka dengan ketaatan kepada Allah ﷻ, akan ada rasa satu ketenangan, rasa cukup yang tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat dijelaskan dengan perkataan. Maka jangan kita melebihkan dunia yang tidak ada apa-apa ini seperti orang yang malang disebut dalam Takathur: 1

أَلهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ

Banyak telah melalaikan kamu,

Tetapi untuk apa? Bukannya boleh kekal pun dunia ini kerana selepas itu Allah ﷻ sebut penyesalan mereka itu,

حَتّىٰ زُرتُمُ المَقابِرَ

sampai kamu masuk ke dalam kubur.

 

وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ ءآيٰتِنَا غٰفِلُونَ

dan orang-orang yang lalai terhadap ayat-ayat Kami,

Mereka lalai untuk mempelajari ayat-ayat Allah ﷻ. Mereka tidak berasa penting untuk mengetahui apakah yang hendak disampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Bila diajak untuk menghadiri kelas Tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu datang dan bermacam alasan diberi. Kalau pergi kelas pun hanya sibuk memperbetulkan bacaan tajwid sahaja. Disebabkan itu, mereka lalai untuk taat perintah Allah ﷻ malah melakukan perkara ibadat yang tiada dalil dalam agama pula dek kerana tidak faham isi kandungan Al-Qur’an ini.

Ayat-ayat Allah ﷻ itu terbahagi kepada dua. Ada ayat-ayat yang berbentuk Al-Qur’an dan juga ada ayat-ayat yang bermaksud ‘tanda-tanda’ dalam alam ini. Apabila mereka lalai dengan tanda-tanda yang ada di dalam alam ini, mereka tidak mengambil pengajaran dengan apa-apa sahaja yang berlaku kepada mereka.

Mereka memang dapat melihat alam yang amat indah ini, namun mereka tidak berasa apa-apa, seolah-olah tidak memberi kesan terhadap diri mereka. Tidak timbul rasa kagum akan kehebatan Allah ﷻ yang menjadikan alam ini. Apabila sesuatu terjadi kepada mereka, mereka tidak berfikir bahawa itu adalah hasil perbuatan dan qada’ Allah ﷻ.

Dalam satu bahagian, mereka lalai dengan ayat-ayat Allah ﷻ dalam bentuk Al-Qur’an. Dalam bahagian yang lain pula, mereka juga tidak mengambil pengajaran daripada alam semesta yang Allah ﷻ jadikan ini. Alam yang hebat ini sepatutnya menjadi tanda kepada kita tentang kewujudan Allah ﷻ, kehebatan Allah ﷻ, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Maka mereka tidak ada alasan lagi apabila dipersoalkan di hadapan Allah ﷻ nanti di akhirat. Kalau mereka kata Allah ﷻ tidak nampak, syurga dan neraka tidak nampak, akan tetapi tidakkah mereka nampak tanda-tanda pada alam ini dan ayat-ayat Al-Qur’an yang penuh dengan kebenaran? Alasan apa lagi yang mereka ada?


 

Yunus Ayat 8: Apakah nasib mereka nanti?

أُولٰئِكَ مَأوىٰهُمُ النّارُ بِما كانوا يَكسِبونَ

Sahih International

For those, their refuge will be the Fire because of what they used to earn.

Malay

Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan penderhakaan yang mereka telah lakukan.

 

أُولَٰئِكَ مَأْوَىٰهُمُ النَّارُ

mereka itu tempatnya ialah neraka,

Kalimah مَأْوَ adalah tempat pulang yang akhir sekali iaitu tempat yang kekal abadi. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka pun disebabkan oleh kesalahan yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Bukan kerana sebab lain kerana Allah ﷻ tidak zalim. Bukanlah Allah ﷻ suka-suka memasukkan mereka ke dalam neraka itu.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa kita hanya dibalas dengan usaha-usaha yang kita lakukan semasa di dunia. Oleh itu tidak ada ‘konsep sedekah’ dan ‘hadiah pahala’ seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam sekarang.

Amatlah banyak ayat-ayat sebegini dalam Al-Qur’an ini. Namun mereka yang tidak belajar tidak akan tahu. Mereka yang kata pahala boleh sampai, hanyalah menggunakan hujah akal sahaja dan hujah manusia sahaja. Padahal Al-Qur’an dengan jelas mengatakan yang kita hanya mendapat apa yang kita usahakan sahaja. Bukan atas usaha orang lain.


 

DIPIMPIN OLEH IMAN

Yunus Ayat 9: Ini pula adalah ayat Tabshir Ukhrawi yang memberitahu balasan kepada orang yang baik. Selalunya selepas Allah ﷻ sebut tentang orang yang malang, kemudian Allah ﷻ sebut tentang orang yang beruntung pula. Ini adalah satu satu cara Allah ﷻ seimbangkan kisah, tidaklah sebut satu jenis sahaja. Allah ﷻ mengajar perkara yang harus dielakkan dan kemudian Allah ﷻ mengajar perkara yang harus diikuti.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ يَهديهِم رَبُّهُم بِإِيمٰنِهِم ۖ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ في جَنّٰتِ النَّعيمِ

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – their Lord will guide them because of their faith. Beneath them rivers will flow in the Gardens of Pleasure

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.

 

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Ini pula tentang orang-orang yang ‘beriman sempurna’. Maksud ‘beriman sempurna’ itu adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Mereka betul-betul menyembah hanya Allah ﷻ sahaja.

Untuk mengetahui bagaimana mendapatkan iman yang sempurna ini, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an kerana hal tentang syirik ini banyak diberitahu dalam Al-Qur’an.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan mengerjakan amal-amal soleh,

Tidak cukup dengan beriman sahaja, tetapi iman itu perlu dizahirkan dengan melakukan amal ibadat juga. Jangan jadi seperti sesetengah manusia yang kata mereka beriman, tetapi amal ibadat mereka tidak buat. Kononnya mereka kata: “yang penting apa dalam hati; Allah tahu apa yang dalam hati aku”. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak berilmu sahaja.

Apakah amal-amal yang soleh itu? Itulah amal-amal ibadat yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukannya amal ibadat yang bid’ah, yang bukan datang daripada Nabi ﷺ. Amal ibadah yang bid’ah, tidak ada nilai langsung, malahan akan mengundang dosa pula. Amatlah malang sekali kepada mereka yang jahil yang tidak tahu apakah maksud bid’ah itu.

Mereka terkeliru kerana mereka diajar oleh guru-guru agama yang keliru juga. Yang paling mereka keliru adalah tentang ‘Bid’ah Hasanah’. Amat banyak sekali dalam masyarakat Islam kita yang keliru tentang Bid’ah Hasanah ini. Semua mereka sangka baik mengikut penilaian akal mereka sendiri, sedangkan sepatutnya semua perkara hanya akan dianggap baik sebagaimana yang Nabi ﷺ anggap ia baik kerana kita disuruh mengikut Nabi ﷺ seperti disebut dalam Ali Imran: 31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

Dari segi bahasa, perkataan الصَّالِحَاتِ itu adalah jamak tetapi jamak yang sedikit. Ini memberi isyarat bahawa Allah ﷻ tidak menuntut kita berbuat amal ibadat dengan banyak sekali. Maka, kita tidak perlu buat amal ibadat dengan banyak, tetapi yang lebih penting adalah adalah melakukan amalan dengan cara yang terbaik. Daripada ’Aisyah رضی اللہ عنھا beliau mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun itu sedikit.

(Riwayat Muslim no. 783)

No photo description available.

Maksudnya, amal ibadat soleh itu dilakukan dengan cara terbaik dan istiqamah (berterusan). Memanglah lebih baik lagi kalau dia melakukan amalan yang terbaik dan dalam masa yang sama, lagi banyak. Yang penting, kita buatlah amal ibadat mengikut kemampuan kita.

 

يَهْدِيهِمْ رَبُّهُم بِإِيمٰنِهِمْ

mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka kerana keimanannya,

Apabila seseorang itu telah mula beriman, maka Allah ﷻ akan teguhkan iman mereka dengan diberikan hidayah. Allah ﷻ akan tambah dan tambah lagi hidayah kepada mereka. Tetapi perlulah dimulai dengan adanya iman.

Orang yang sudah ada iman, apabila mereka baca dan faham Al-Qur’an, ia akan menguatkan iman mereka. Semakin baca, semakin tebal iman. Berbanding dengan orang yang tidak beriman, lagi dibaca lagi ditambah hijab bagi mereka.

Kepada mereka, Allah ﷻ akan beri ilmu kepada mereka. Bukan itu sahaja, Allah ﷻ akan beri peluang kepada mereka untuk beramal. Ini penting kerana kita boleh membuat amal ibadat dengan banyak pun kerana Allah ﷻ yang benarkan, Allah ﷻ yang dorong kita.

Ada satu lagi tafsir bagi kalimah يَهْدِيهِمْ ini. Iaitu bagi mereka yang telah beriman dan telah beramal soleh, Allah ﷻ akan pandu bawa mereka ke tempat mereka akan menerima nikmat mereka di syurga. Semua ini kerana iman mereka.

 

تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الْأَنْهٰرُ

di bawah mereka mengalir sungai-sungai

Selalunya ayat yang menyebut tentang sungai-sungai ini akan menggunakan perkataan تَحْتِهِا di mana ها itu dhomir kepada ‘syurga’ – iaitu sungai-sungai itu mengalir di bawah syurga. Namun dalam ayat ini, perkataan تَحْتِهِمُ digunakan di mana هم itu merujuk kepada orang beriman yang dimasukkan ke dalam syurga.

Apakah maksud ‘sungai-sungai itu di bawah mereka’? Ia bermaksud ‘di bawah penguasaan’ mereka. Mereka boleh mengawal sungai-sungai itu. Mereka boleh arahkan sungai itu masuk rumah ikut kanan atau kiri, naik atas siling dan sebagainya. Sungguh hebat sekali!

Bayangkan kalau rumah di dunia, kita tidak ada pilihan sebegini. Kalau kita suruh tukang rumah buat longkang pun, belum tentu menepati apa yang kita hendak. Namun di syurga nanti, macam-macam kelebihan dan nikmat yang Allah ﷻ akan berikan. Ini kerana mereka telah berkorban semasa di dunia, maka Allah ﷻ balas di akhirat nanti dengan berbagai-bagai nikmat.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an sebagai motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang tinggal di padang pasir mungkin tidak pernah melihat sungai pun, hanya sekadar mendengar tentang sungai sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia. Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى

ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

 

فِي جَنّٰتِ النَّعِيمِ

di dalam syurga yang penuh kenikmatan.

Kalimah النَّعِيمِ dari segi sorof bermaksud ‘nikmat yang tidak putus-putus’. Mereka akan berterusan mendapat nikmat yang berbagai-bagai sampai bila-bila.

Sebenarnya, di dunia ini lagi kita sudah dapat nikmat yang tidak putus-putus. Sebagai contoh, matahari yang naik setiap hari tanpa henti itu pun adalah sebuah nikmat yang berterusan tidak putus-putus bagi kita. Setiap hari kita mendapat nikmat itu sampaikan kita tidak perasan yang ia adalah satu nikmat.

We always take things for granted (Kita selalu mengambil mudah di atas sesuatu perkara) sebab hari-hari ia terjadi. Kita tidak terpegun pun melihat matahari; tidaklah kita melihat matahari naik, sampaikan kita berkata: “Ma sha Allah! Subhanallah, cantiknya matahari ini!”. Tidak, bukan?

Sekarang dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu kepada kita bahawa di syurga nanti kita akan diberikan dengan nikmat yang tidak putus-putus. Kita akan mendapat nikmat itu sampai bila-bila. Adakah perasaan kita dengan nikmat yang Allah ﷻ berikan di syurga itu nanti sama seperti perasaan kita dengan nikmat tidak putus-putus yang Allah ﷻ telah berikan di dalam dunia ini?

Sedangkan beberapa tahun sahaja kita hidup di dunia, kita sudah tidak merasa apa-apa dengan nikmat-nikmat itu, bagaimana pula kalau kita mendapat nikmat itu lebih lama lagi di syurga nanti? Ini akan dibincangkan dalam ayat seterusnya.

Namun begitu untuk mendapat semua ini mestilah ada sifat-sifat taqwa. Sifat mereka ini disebut dalam Al-Qur’an untuk kita contohi. Antaranya disebut dalam Ali Imran: 134-136

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Apabila ada sifat-sifat itu, barulah boleh berangan untuk mendapat nikmat daripada Allah ﷻ seperti disebutkan selanjutnya,

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya